KUALA LUMPUR: Sebagai sebuah negara perdagangan bebas, Malaysia memberi ruang kepada semua pemain industri global untuk memasarkan produk dan perkhidmatan mereka di negara ini, kata Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Sehubungan itu, Malaysia, kata Menteri Pertahanan itu, mengambil pendekatan untuk tidak campur tangan dalam urusan perniagaan mana-mana syarikat global dengan mana-mana negara tertentu.

"Kementerian Pertahanan mengambil maklum terdapatnya desakan segelintir pihak yang tidak berpuas hati dengan penyertaan beberapa syarikat pertahanan global dalam pameran Defence Services Asia (DSA) dan National Security (NATSEC) Asia 2024 di Kuala Lumpur.

"Penganjuran pameran ini juga sangat jelas iaitu menyediakan ruang dan memberi peluang kepada semua pihak untuk mempamerkan kepakaran serta teknologi terbaharu pertahanan.

"Ia membolehkan kerajaan dari pelbagai negara dan para pemain industri global meneroka pelbagai teknologi dan inovasi termaju demi meningkatkan kesiapsiagaan pertahanan masing-masing," kata Khaled dalam kenyataan yang dikeluarkan.

Dalam hal ini, Kementerian Pertahanan menegaskan hubungan beberapa syarikat pertahanan global dengan negara tertentu adalah urusan perniagaan

Menurut Khaled, DSA dan NATSEC Asia 2024 merupakan pameran yang dianjurkan oleh pihak swasta dengan kos dan perbelanjaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak penganjur.

Jelas beliau juga, pameran ini tidak memihak atau memberi kelebihan kepada mana-mana negara atau syarikat tertentu.

"Sebaliknya dibuka kepada semua negara dan pemain industri termasuk penyertaan besar dari negara-negara Islam seperti Republik Turki, Republik Indonesia, UAE, Iran, Bosnia dan Herzegovina serta Pakistan.

"Selain negara-negara Islam, pameran ini turut menjadi arena penting kepada pemain pertahanan Asia dari Korea Selatan, China, India dan Singapura," tambah beliau.

Kementerian Pertahanan turut menegaskan bahawa dasar perolehan pertahanan negara dilaksanakan dengan mengambil kira kemajuan teknologi mutakhir, keperluan strategik negara, kos sesuai nilai, kepentingan nasional serta pendirian politik global Malaysia.

Tiada perolehan pertahanan yang akan dilaksanakan tanpa mengambil kira pendirian global Malaysia terutama dalam konflik Palestin-Israel serta kepentingan kebangsaan Malaysia.

Kementerian Pertahanan juga sentiasa secara konsisten mendukung dasar negara menentang segala bentuk ketidakadilan ke atas negara Palestin.